Jumaat, 10 Ogos 2012

PDRM AKAN IKUT JEJAK LANGKAH POLIS HONG KONG ??


Polis mahu guna uniform berkamera


HONG KONG - Dalam inisiatif pertama seumpamanya di Asia, polis Hong Kong menyatakan pihaknya akan menguji pengunaan kamera video yang diletakkan pada pakaian seragam anggota-anggota polis untuk merakam interaksi mereka bersama orang awam.
Bagaimanapun, skim tersebut mendapat bantahan daripada beberapa pertubuhan hak asasi manusia.
Pihak berkuasa pulau ini memberitahu semalam bahawa anggota polis akan mula memakai kamera kecil tersebut pada hujung tahun ini.
Peralatan serupa telah digunakan di Amerika Syarikat dan United Kingdom manakala polis Australia akan turut menguji kamera berkenaan.

Polis Johor Perbaharui Ikrar Baiki Perkhidmatan


JOHOR BAHARU, 9 Ogos (Bernama) -- Polis Johor memperbaharui ikrar untuk membaiki mutu perkhidmatan dalam usaha menjamin keselamatan awam terutama di negeri itu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata ikrar pasukan itu turut mengambil kira usaha kerajaan menjadikan wilayah Iskandar Malaysia sebagai lokasi perniagaan bertaraf dunia.

"Kami dengan ini memperbaharui ikrar kami untuk meneruskan usaha memperbaiki mutu perkhidmatan dalam usaha menjadikan negara ini sebuah negara yang selamat," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini malam Rabu.

Sultan Johor Sultan Ibrahim dan isteri Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris serta kesemua anakanda baginda berkenan berangkat ke majlis itu.

Hadir sama Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim.

Pegawai Polis Dipenjara Lima Tahun, Denda RM20,000 Terima Rasuah RM4,000



SHAH ALAM, 9 Ogos (Bernama) -- Seorang pegawai polis berpangkat ASP dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas didapati bersalah menerima rasuah RM4,000 bagi meringankan pertuduhan terhadap seorang wanita yang ditahan kerana memiliki dadah, dua tahun lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhi hukuman itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

ASP Azmi Abdullah, 54, yang kini digantung tugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang juga boleh dipenjarakan 10 bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.

Mat Ghani bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi mengarahkan Azmi membayar denda itu.

Beliau turut mengekalkan wang jaminan RM8,000 yang ditetapkan sebelum ini.

PDRM Akan Berusaha Habis-habisan Banteras Jenayah, Kata Pengarah JSJ


KOTA KINABALU, 9 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berusaha habis-habisan dalam membanteras jenayah untuk meningkatkan keselamatan orang ramai serta mengekalkan undang-undang dan ketenteraman di negara ini, kata pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Beliau berkata berbeza dengan tanggapan kebanyakan orang, tugas mencegah jenayah sebenarnya bukan melibatkan JSJ semata-mata, tetapi seluruh pasukan polis "dan oleh itu orang ramai perlu mempunyai keyakinan terhadap polis".

"Keselamatan orang ramai menjadi keutamaan kami. Malah, di Sabah, anggota Pasukan Gerakan Am juga turun padang untuk membantu memerangi jenayah, khususnya di bandar utama.

Polis Cari Empat Lelaki Suspek Kes Samun Di Kelanta


KOTA BAHARU, 9 Ogos (Bernama) -- Polis kini memburu empat lelaki yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun dan curi kenderaan di negeri ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Supt Zainol Samah berkata empat suspek itu dikenali sebagai Abang Chik, Hafis Cina, Avis dan Jihan Kunyit, berusia antara 19 dan 45 tahun dan berasal dari Pasir Puteh.

Beliau berkata kesemua mereka yang menaiki sebuah kereta dipercayai dicuri, merempuh sebuah kereta milik orang awam dan kereta peronda polis di sebuah stesen minyak di Pasir Puteh, ketika melarikan diri daripada polis pada pukul 4.25 petang semalam.

Kejadian itu menyebabkan kereta peronda polis dan kereta orang awam rosak teruk, katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai empat lelaki terbabit supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di talian 09-7450999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Pemilik Restoran Kerugian Rm35,000 Dirompak Lelaki Menyamar Polis

Gambar hiasan

TAPAH, 9 Ogos (Bernama)-- Polis sedang mengesan lima lelaki yang disyaki menyamar sebagai anggota polis dan merompak seorang pemilik restoran RM35,000 di Simpang Bidor di sini, Selasa lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah DSP Abdullah Arshad berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4.00 petang ketika mangsa yang berusia 58 tahun dan anak lelakinya berumur 20an dalam perjalanan pulang dari sebuah bank di Bidor.

"Ketika sampai di Simpang Bidor, kereta mangsa telah dihimpit oleh sebuah kereta jenis Iswara menyebabkan mangsa terpaksa memberhentikan keretanya.

"Seorang lelaki yang memakai vest berlambang polis keluar dari kereta Iswara itu dan memberitahu mangsa bahawa dalam kenderaan mangsa terdapat dadah," katanya pada sidang media, di sini Khamis.

Beliau berkata kelima-lima suspek kemudiannya menggeledah kereta mangsa.

Lagi mangsa gores dan menang


Lagi mangsa gores dan menang
JOHOR BAHRU – Tidak sampai empat bulan barangan dibeli, seorang penghantar kurier kecewa apabila alat pembersih udara miliknya rosak, malah penjual pula cuba bersikap lepas tangan biarpun telah dimaklumkan beberapa kali.

Pihak yang menuntut, Mohd Fauzi Abdul Rahim berkata, dia dan isterinya bersetuju untuk membeli perkakas elektrik itu selepas dipujuk oleh seorang jurujual yang dikenali sebagai Roy ketika berkunjung ke sebuah ekspo jualan barangan.

Menurutnya, dia ditawarkan untuk menggores kad dan memenangi hadiah sebuah alat penapis air, namun untuk menuntut barangan itu dia perlu membeli sebuah alat pembersih udara berharga RM2,699 terlebih dahulu.

Tabung dikebas penyamun

Gambar hiasan

PENDANG - Sepasang suami isteri di Taman Seri Puteh Fasa Dua dekat Jalan Jenun di sini kerugian RM4,000 apabila barang kemas termasuk wang syiling simpanan anak lesap dalam kejadian pecah masuk rumah mereka, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari itu mangsa, Izat Zakaria, 26, dan isterinya, Azlina Jaafar, 28, tiada di rumah dan hanya menyedari kejadian itu selepas mereka pulang berehat tengah hari di rumah kira-kira sejam selepas kejadian itu.

Izat berkata, dia terkejut setelah tiba di rumah mendapati pintu gelongsor bersama pagar besi rumahnya terbuka serta terdapat kesan bakar pada besi pagar yang dipatahkan.

“Sampai di rumah, saya dapati pagar ditutup tetapi jeriji pintu rumah terbuka menyebabkan saya bergegas masuk melihat keadaan rumah lalu mendapati bilik tidur utama digeledah sehingga pakaian berselerak di lantai.

“Barang kemas bernilai RM3,500 bersama wang syiling simpanan anak berjumlah RM500 diletakkan dalam almari bilik itu turut lesap, manakala dua bilik lain tidak digeledah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Curi kabel: Telekom rugi RM4 juta

Gambar hiasan

ALOR SETAR - Telekom Malaysia (TM) mengalami kerugian hampir RM4 juta sepanjang Januari hingga Julai tahun ini, akibat kecurian kabel milik syarikat telekomunikasi itu di Perlis dan Kedah.
Pengurus Besar TM Kedah/Perlis, Noor Lela Baba berkata sepanjang tempoh itu lebih 800 kes direkodkan dengan sebanyak 167 kes direkodkan sepanjang bulan Julai sahaja.
"Kes kecurian meningkat sejak Julai tahun ini mungkin disebabkan musim perayaan," katanya kepada pemberita pada program Bubur Lambuk Ihya Ramadan TM, di sini hari ini.

Polis: Purata 5 motosikal dicuri setiap hari di Melaka

Gambar hiasan

MELAKA- Kes kecurian motosikal di Melaka meningkat 27 peratus bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini dengan anggaran kerugian RM4.6 juta.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata sebanyak 1,167 motosikal dilapor dicuri antara Januari dan Julai berbanding 921 dalam tempoh sama tahun lepas.
   
Secara purata sebanyak lima motosikal dicuri setiap hari, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
   
Beliau berkata kes curi motosikal meliputi 42.4 peratus daripada keseluruhan indeks jenayah di negeri ini setakat tujuh bulan ini.
   
Dalam tempoh itu juga sebanyak 197 orang berjaya ditahan dan polis Melaka menyelesaikan 196 kes curi motosikal.
   
Daripada jumlah itu, 104 dituduh di mahkamah, 21 telah dijatuhi hukuman dan selebihnya masih menunggu perbicaraan, katanya.
   
Raja Shahrom berkata taktik meleraikan motosikal yang dicuri dan komponennya dijual di pelbagai tempat termasuk bengkel persendirian menyukarkan siasatan polis. -Bernama

2 pekerja kedai serbaneka disamun


KUANTAN - Dua pekerja lelaki sebuah kedai serbaneka di Bandar Indera Mahkota, di sini, disamun empat lelaki bersenjatakan parang, awal pagi ini.
Dalam kejadian 5.45 pagi itu, empat suspek berpura-pura sebagai pelanggan dan memilih barang untuk dibeli, kata Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff.
"Seorang daripada mereka mengeluarkan sebilah parang dan mengacukan ke arah mangsa dan mangsa kemudiannya bertindak menyerahkan wang tunai dan rokok seperti yang diminta," katanya di sini, hari ini.
Katanya, empat suspek terbabit kemudiannya turut merampas telefon bimbit milik mangsa sebelum melarikan diri.
Susulan kejadian itu, mangsa bersama penyelianya membuat laporan di Balai Polis Indera Mahkota, pada 6 pagi dan jumlah kerugian masih disiasat, katanya. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...